PROGRAM ‘RIVER EDUCATIONAL TRIP’
ANJURAN SELANGOR MARITIME GATEAWAY (SMG)
SEMAI RASA CINTA TERHADAP SUNGAI KITA
Pada 15 Februari yang lalu, saya berpeluang menyertai program ‘River Educational Trip’ anjuran Selangor Maritime Gateaway (SMG). Seramai 32 peserta yang terdiri daripada kakitangan MBI telah terlibat dalam program ini.
Tepat jam 9.00 pagi, kami telah berkumpul di Taman Awam Pangkalan Batu, Klang untuk mengambil kehadiran. Setengah jam kemudian, kami dibawa menaiki bot menyelusuri empat check point (CP). Sepanjang program, kami diberi taklimat oleh Encik Ravinesh dan Cik Suhailah berkenaan inisiatif yang dijalankan oleh SMG untuk memelihara dan memulihara Sungai Klang.
Pada check point pertama (CP1), kami melewati Interceptor 002, iaitu mesin pemintas sampah pertama di Malaysia yang diletakkan di Sungai Klang. Ia merupakan salah satu teknologi pembersihan sungai yang tercanggih di dunia. Malah, Interceptor 002 disambungkan melalui Internet dan boleh menghantar isyarat apabila sampah yang terkumpul telahpun penuh. Mesin ini juga mampu memerangkap sehingga 50 juta tan metrik sampah sehari!
Selepas itu, kami ke check point kedua (CP2), iaitu Water Quality Monitoring System. Di sini, kami melihat bagaimana bacaan masa nyata Indeks Kualiti Air (WQI) sungai dipantau. WQI digunakan untuk mengukur tahap pencemaran dan kesesuaian jenis guna air seperti yang digariskan oleh Standard Kualiti Air Negara. Ia telah mengambil kira parameter Oksigen Terlarut atau Dissolved Oxygen (DO), Keperluan Oksigen Biokimia atau Biological Oxygen Demand (BOD), Keperluan Oksigen Kimia atau Chemical Oxygen Demand (COD), Ammonia Nitrogen atau Ammoniacal Nitrogen (NH3N), Pepejal Terampai atau Total Suspended Solid (TSS) dan pH. Jumlah bacaan WQI adalah mengikut piawaian kelas I, II, III, IV dan V. Air yang memperoleh bacaan WQI Kelas I adalah paling bersih manakala Kelas V diklasifikasikan sebagai amat tercemar atau tidak boleh diminum. Agak-agak anda, Sg. Klang berada dalam WQI kelas berapa ya?
Selepas setengah jam di CP2, kami dibawa ke CP3, iaitu Log Bloom Sg. Pinang. Di CP3, kami diberi penerangan mengenai operasi pembersihan sungai yang berada di tapak (tebing sungai).
Akhir sekali, kami ke CP4, iaitu Interceptor 005. Mesin pemintas sampah ini mempunyai ciri-ciri yang sama seperti Interceptor 002 dan yang kedua beroperasi di Malaysia. Menariknya, ia telah ditaja oleh kumpulan Coldplay, band musik terkenal di UK. Cayalah!
Bagi saya, ini merupakan pengalaman yang tak akan dapat dilupakan dan begitu bermakna. Rupa-rupanya pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh pihak berkuasa untuk mengurangkan pencemaran di Sungai Klang.
Melihat keadaan sungai kita, saya rasa sudah tiba masanya untuk kita menyemai sikap cakna akan kepentingan menjaga alam sekitar terutamanya kebersihan sungai. Kesedaran ini juga perlulah diterapkan dalam kalangan anggota keluarga terutamanya anak-anak. Contohnya, mereka perlu dididik agar membuang sampah ke dalam tong sampah yang disediakan.
Semoga usaha murni ini dapat membantu mengurangkan tahap pencemaran di Sungai Klang dan suatu hari nanti menjadi sungai terbersih di Malaysia! Amin…









