Press Release Detail

Lawatan Smart Selangor ke Kerajaan Negeri Pulau Pinang Bentuk Kerjasama Agenda Smart City

 

Delegasi Kerajaan Negeri Selangor yang diketuai Exco Kerajaan Negeri Selangor, YB Nik Nazmi Nik Ahmad, telah mengadakan satu lawatan penanda aras ke Kerajaan Negeri Pulau Pinang selama dua hari daripada 14 hingga 15 Ogos 2017 untuk membincangkan kerjasama kedua-dua negeri berkaitan agenda Smart City.

Mesyuarat rasmi di antara kedua-dua pihak telah diadakan pada hari kedua lawatan dan dipengerusikan oleh Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang, YB Chow Kon Yeow, dan turut disertai YB Lim Hock Seng.

YB Chow di dalam ucapan aluan mesyuarat telah menyatakan bahawa Kerajaan Pulau Pinang bersedia berkongsi maklumat berkenaan inisiatif Penang Smart City dan berminat untuk terus belajar daripada Negeri Selangor tentang usaha yang dijalankan untuk memajukan agenda tersebut.

“Mesyuarat ini merupakan persediaan awal kedua-dua negeri untuk menjalinkan kerjasama secara rasmi pada masa akan datang,” ujar beliau.

“Menurut YB Nik Nazmi, Kerajaan Negeri Selangor juga berminat untuk berkongsi pandangan serta pengalaman dengan lebih dekat dan lawatan ini membolehkan perhubungan yang lebih erat di antara kedua-dua kerajaan negeri.”

“Selangor telah melancarkan Smart Selangor Blueprint pada akhir tahun lepas dan telah menjalankan beberapa inisiatif antaranya pengurusan sisa pejal, WiFi Smart Selangor, pembaikan jalan menerusi aplikasi Waze dan Smart Selangor Command Centre, jadi kedua-dua pihak mempunyai beberapa asas perkongsian,” kata beliau.

Ketua Jabatan Kerajaan Tempatan Kerajaan Pulau Pinang, Vishantini a/p Kanasan, telah membentangkan berkenaan Penang Smart City, inisiatif dan perancangan, manakala bagi pihak Smart Selangor, Suhaimi Mohd Tahir Ketua Projek Pejabat Pengurusan Program, telah memberi pembentangan pengirisan Smart Selangor Blueprint serta inisiatif-inisiatif yang sedang dilaksanakan.

Selain itu delegasi Kerajaan Negeri Selangor juga telah mengadakan lawatan ke CCTV Command Centre Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Penang Digital Library, dan mendengar pembentangan daripada Aspen Group berkenaan Aspen Vision City yang akan dibina di Batu Kawan dengan memuatkan solusi-solusi pintar sebagai asas pembangunan.

64cb75dee14083feeed5f4fa2592ff11