Smart Selangor Retreat 2016 banyak manfaat, wajar diperluaskan

Smart Selangor pikat sektor swasta
30th August 2017
Smart Selangor bukan retorik, beri impak positif langsung rakyat
30th August 2017

Media : SelangorKini

Date : 21 August 2016

SEPANG, 21 OGOS: Program Smart Selangor Retreat 2016 yang dihadiri lebih 70 peserta termasuk 36 Exco dan Ahli Dewan Negeri (DNS) wajar diperluaskan ekoran memberi manfaat kepada negeri dan rakyat.

Hal ini berikutan, program diadakan pada 19 dan 20 Ogos itu menjadi platform terbaik mengupas dan membahaskan idea dikemukakan sekaligus memberi penambahbaikan terhadap pembangunan gagasan Smart Selangor.

Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya, berkata penerangan dibuat membolehkan Kerajaan Negeri memperolehi maklum balas masyarakat secara lebih menyeluruh.

“Kerajaan Negeri sedar suara rakyat merupakan teras kejayaan program Smart Selangor ini dan “Stakeholder’ engagement’ wajar diperluaskan dengan siri penerangan melibatkan semua lapisan masyarakat supaya dapat memastikan keperluan dan kehendak rakyat dipenuhi bagi meningkatkan kualiti hidup mereka.

“Program ini merupakan susulan daripada beberapa sesi penerangan dan makmal Smart Selangor yang diadakan pada Julai dan Ogos lalu dengan input dan pandangan daripada Yang Berhormat mewakili suara rakyat adalah dialu-alukan supaya pelaksanaan agenda Smart Selangor dapat mencapai objektif digariskan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pembukaannya pada program Smart Selangor Retreat 2016 yang diadakan Avani Sepang Goldcost Resort di sini.

Sementara itu, beberapa Ahli DNS yang ditemui SelangorKini berkata, program seperti ini harus dikembangkan lagi termasuk melibatkan belanjawan tahunan.

“Program seperti ini memang bagus dan wajar diteruskan kerana kami dapat mengetahui dengan mendalam dan Kerajaan Negeri juga mendapat maklum balas peringkat akar umbi mengenai Smart Selangor.

“Saya rasa ‘retreat’ seperti ini perlu diperluaskan lagi termasuk bagi membincangkan hal-hal belanjawan tahunan sebelum belanjawan didrafkan,” kata Ahli DNS Seri Andalas, Dr Xavier Jayakumar ketika ditemui SelangorKini pada progam itu.

Ahli DNS Sekinchan, Ng Suee Lim pula berkata percambahan idea di dalam program ini memberikan hasil terbaik bagi menjayakan gagasan Smart Selangor.

“Ini program cukup bermakna kerana dapat memberi banyak informasi gagasan Smart Selangor untuk menjadikan Selangor Smart State seperti yang dihasratkan Dato’ Menteri Besar.

“Program ini membolehkan pimpinan berinteraksi, bertukar pandangan dan cadangan terhadap hala tuju bagaimana Smart Selangor yang kita ingin capai di segi pembangunan, pengurusan sampah, pembangunan teknologi maklumat dan akhirnya menjadikan Selangor sebagai peneraju atau model ‘smart state’,” katanya.

Ahli DNS Meru, Dr Abdul Rani Osman pula menyifatkan program percambahan idea seumpama mampu memberi kesan menyeluruh terhadap keberkesanan sesuatu dasar yang ingin dilaksanakan ekoran pengetahun yang dimiliki Ahli DNS mengenai isu di peringkat akar umbi.

“Program ini memang bagus, banyak memberi manfaat. Cuma saya harap dapat diadakan juga program seumpama ini sebelum belanjawan dibentangkan kerana Ahli DNS dapat menyampaikan pandangan masing-masing.

“Walaupun mungkin ada pendapat yang kontroversi tetapi semua itu adalah untuk mendapatkan idea terbaik untuk kebaikan rakyat Selangor,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Smart Selangor Delivery Unit (SSDU), Yang Mulia Raja Shahreen Raja Othman yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) dalam reaksinya berkata sesi seperti ini akan diteruskan lagi.

“Ini merupakan sesi yang bagus dengan matlamat kita menerangkan apa itu Smart Selangor, apa program yang kita ada dan bagaimana dapat membantu rakyat.

“Program seumpama ini adalah satu usaha berterusan, tidak berhenti di sini sahaja. Pada masa akan datang akan ada sesi seperti ini lagi untuk membentangkan kemajuan yang kita dah buat, apa yang kita temui dan kita lihat maklum balas yang ada.

“Hari ini kita cuma sentuh empat ‘domain’ sahaja, ada lapan lagi yang belum kita sentuh yang akan kita sentuh dalam sesi akan datang,” katanya.

Terdahulu, program Smart Selangor Retreat 2016 yang diadakan selama dua hari satu malam itu memberi peluang kepada peserta mendengar taklimat dan memberi idea kepada Kerajaan Negeri untuk menjayakan gagasan Smart Selangor.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

64cb75dee14083feeed5f4fa2592ff11